15 November 2009

Nizar News: Pemuda Sokong Umno Tapi Disekat: Tun Mahathir

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata adalah tidak benar bahawa generasi muda sekarang tidak menyokong Umno, tetapi mereka sebenarnya menghadapi halangan untuk menyertai parti.

Beliau berkata ini berikutan ada sesetengah pimpinan peringkat cawangan parti enggan menerima kemasukan generasi muda yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berkelulusan tinggi kerana bimbang kedudukan mereka tergugat.

"Sekarang ini ramai orang Melayu memiliki ijazah dan inilah cabaran kepada ketua-ketua cawangan, mereka takut disingkir dan diganti dengan mereka yang punyai pelajaran lebih tinggi.

"Apabila sudah dapat tempat sebagai ketua cawangan, mereka enggan lepaskan. Sebab itu, kalau ada yang ada kelebihan sedikit dari segi kelulusan atau berijazah, tidak dibenar masuk dalam cawangan," katanya di majlis wacana ilmu anjuran pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Dr Mahathir berkata jika dilihat dalam parti pembangkang PAS, dulu mereka hanya diwakili oleh golongan ulama saja tapi hari ini ada jurutera, doktor dan orang yang berkelulusan tinggi.

Katanya sehubungan itu pengganti pimpinan cawangan Umno juga akan menjadi semakin kurang berkebolehan kerana mereka enggan menerima muka baru yang lebih berkebolehan.

Ketika menjawab soalan dalam sesi dialog, mantan perdana menteri berkata ada generasi muda yang datang berjumpa dengan beliau dan menyuarakan minat menyertai Umno tapi tidak boleh sebab ada sekatan seperti yang dikatakannya itu.

"Jika mereka kita dampingi, kita dapat terangkan perjuangan Umno. Saya pasti mereka tidak akan jadi pengkritik tidak berasas terhadap Umno.

"Bila mereka (golongan muda) tengok keputusan pilihan raya (umum) 2008, Umno nampak kurang relevan, jadi macam mana nak menyokong. Tapi kalau kita betulkan kesalahan ini, percayalah mereka akan sokong kita semula," tegas beliau.

Dr Mahathir berkata dilema sekarang adalah penyertaan dalam parti Umno dilihat bukan lagi sebagai perjuangan untuk bangsa dan negara seperti pemimpin terdahulu yang memperjuangkan kemerdekaan negara, tetapi kini lebih kepada untuk menjamin kedudukan mereka dan mendapat kuasa.

Katanya ini juga menyebabkan bermulanya politik wang setiap kali pilihan raya dan pemilihan Umno.

Dr Mahathir berkata jikalau ada ahli atau pemimpin yang tidak menjalankan tugas dengan baik, maka menjadi tanggungjawabnya untuk menegur mereka.

"Jangan sokong orang yang berjuang hanya untuk mengisi periuk nasi mereka.

"Kita perlu jaga parti keramat ini, Umno telah bertahan lebih lama daripada lain-lain parti yang berjuang untuk kemerdekaan (negara masing-masing), kalau sayang Umno pastikan ia tidak dibawa ke arah lain dan tidak diguna oleh para pemimpin untuk kepentingan sendiri," tegas beliau.

Beliau memberi contoh parti-parti politik yang berjuang untuk memerdekakan negara mereka seperti di India, Indonesia, Pakistan dan Afrika yang banyak daripadanya tidak wujud lagi atau sudah lemah sekarang, kerana rakyat negara mereka sudah tidak lagi menyokong mereka.

"Mereka lupa janji mereka kepada rakyat, iaitu pemerintahan yang dipimpin mereka akan lebih adil dan lebih bertimbang rasa daripada pemerintahan penjajah. Pada mulanya rakyat masih menyokong, tapi lama-kelamaan rakyat akan sedar mereka tidak lagi memperdulikan nasib rakyat tapi utamakan kedudukan dan kekayaan.

"Maka rakyat akan mula kecewa dan semakin lama semakin kurang sokongan mereka kepada parti yang memperjuangkan kemerdekaan. Akhirnya parti seperti ini akan jadi lumpuh, lemah dan seterusnya hilang," katanya.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels