3 November 2009

Nizar News: 16 September Tiba-tiba Jadi Penting

Kerajaan disarankan supaya mewartakan cuti awam Hari Malaysia pada 16 Sept mulai tahun depan dengan memasukkannya ke dalam Akta Kerja 1955.

Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) berkata sekiranya tidak dimasukkan dalam Akta Kerja 1955, dikhuatiri ada majikan atau syarikat yang tidak akan mengiktiraf cuti berkenaan.

"Kalau itulah saranan yang dibuat oleh Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri agar cuti 16 Sept ini sebagai cuti awam, saya cadangkan ia dimasukkan dalam Akta Kerja 1955 di bawah Seksyen 60(d).

"Kalau tidak, ia hanya bermain sebagai retorik politik dan hidangan lazat yang tidak boleh dimakan oleh rakyat," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Hari Malaysia diraikan pada 16 Sept setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di mana Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan sebuah mahkamah khas yang dikendalikan oleh pakar-pakar dalam bidang buruh bagi menangani hal-hal berkaitan buruh.

"Dalam banyak kes di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, pengendali mahkamah iaitu hakim tidak mahir dalam bidang buruh.

"Bila mana berlaku rujukan Mahkamah Industri kepada Mahkamah Tinggi, maka pada masa inilah timbulnya kepelbagaian hukuman yang dibuat dan tidak mengikut tatacara dalam bentuk hak pekerja itu sendiri," katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept setiap tahun mulai tahun depan, Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) berkata perkara yang perlu ditekankan ialah pengisian sambutan hari tersebut.

"Saya tidak mempertikaikan pengumuman Perdana Menteri dan saya tidak ada masalah untuk sambut Hari Malaysia dan Hari Kemerdekaan. Tapi yang penting ialah bagaimana kita mengisi erti kemerdekaan dan Hari Malaysia itu," katanya.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels