Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa berkata Barisan Nasional (BN) sudah bersedia untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri(DUN) Kota Siputeh jika mahkamah menolak rayuannya.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata BN akan menghormati keputusan mahkamah yang mengisytiharkan kerusi Kota Siputeh kosong dan akan bertindak mengikut undang-undang.
"Jika kami (BN) boleh merayu, kami akan merayu. Apa juga yang diputuskan oleh mahkamah, kami perlu akur," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan dan Pameran BioMalaysia 2009 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Pada Isnin, Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah kosong, menyatakan Datuk Abu Hassan Sarif bukan lagi wakil rakyat BN berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan dewan secara berturut-turut tanpa kebenaran speaker.
Hakim Alizatul Khair Osman Khairuddin turut memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil di DUN Kota Siputeh.
Sementara itu, anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata Umno Kedah bersedia untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh.
Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yakin BN mampu memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti yang lebih banyak.
"Kalau ikut sejarahnya kita tak biasa kalah di Kota Siputeh walaupun majoritinya turun naik tetapi kali ini pun saya yakin dengan perkembangan terkini dan saya dapat sedikit gambaran bahawa sentimen di Kota Siputeh, khususnya di Jerlun dan secara keseluruhannya di Kedah agak memihak kepada BN.
"Jadi kita kenalah berusaha untuk menterjemahkan sentimen tersebut dalam bentuk undi dalam pilihan raya kecil sekiranya itulah yang berlaku dan berusaha dengan lebih giat untuk menyakinkan rakyat bahawa BN adalah pilihan yang terbaik bagi DUN Kota Siputeh," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Abu Hassan penyandang kerusi DUN Kota Siputeh untuk penggal keempat dan merupakan Ketua Umno Bahagian Jerlun telah menewaskan calon PAS Ismail Wan Teh pada pilihan raya umum pada Mac tahun lepas dengan majoriti 495 undi.
Sementara itu Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata isu politik yang berlaku di Kedah sebelum ini dapat dikendalikan dengan baik dan bakal memberi kelebihan kepada BN sekiranya berlaku pilihan raya kecil di kawasan itu.
"Saya rasa daripada perkembangan pentadbiran yang baru di peringkat nasional kita boleh nampak ada perubahan angin sokongan rakyat cumanya tak pasti dari segi berapa besar jumlah tersebut.
"Saya juga tidak membayangkan penurunan kepada sokongan yang ada, tetapi berapa besar pun pertambahan saya tak berapa pasti cuma ia bergantung kepada berapa ramai keluar mengundi," katanya.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata PAS pastinya akan bertanding dan meletakkan calonnya sekiranya berlaku pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh.
"PAS akan bersedia untuk hadapi pilihan raya kecil jika berlaku dan atas nama Pakatan Rakyat oleh kerana kerusi itu sudah pun ditandingi oleh PAS dalam pilihan raya umum lalu," katanya.
No comments:
Post a Comment