19 June 2018

PRU-14: ANTARA HUKUMAN RAKYAT DAN MAHKAMAH

Hukuman rakyat dan mahkamah ibarat langit dan bumi. Pada PRU-14, rakyat menghukum Dato Seri Najib Razak bersalah berkaitan 1MDB. Namun mantan Perdana Menteri itu tidak semestinya bersalah di mata undang-undang.

Sejak Pakatan Harapan berkuasa, berbagai cara mencari bukti mengaitkan DS Najib Razak dengan 1MDB, sedangkan bertahun-tahun pemimpin Pakatan Harapan telah membuat kesimpulan bahawa bukti-bukti berkaitan mantan Perdana Menteri itu telah ada, malah menuduh sebagai pencuri.

Rakyat negara ini sedang menunggu, akan bila kah DS Najib Razak dihadapkan ke mahkamah, kerana melalui mahkamah sahaja beliau dapat membersihkan nama.

Selagi beliau tidak dihadapkan ke mahkamah dan perbicaraan tidak dijalankan, selagi itu, HUKUMAN bersalah melekat pada beliau.

Hukuman bersalah itu, menghantui mantan Perdana Menteri itu, sehinggakan gerak-gerik beliau bukan sahaja di mata-matai oleh pihak berkuasa, malah rakyat biasa. 

Demi keadilan kepada mantan Perdana Menteri itu, maka sewajarnya, kerajaan PH perlu menghadapkan beliau ke mahkamah, agar beliau dapat membersihkan nama. Kelambatan menghadapkan ke mahkamah, seolah-olah seperti isteri yang ditinggalkan suami tanpa bertali.

Terletak di bahu Tun Dr Mahathir, Lim Kit Siang dan pemimpin PH, untuk membuktikan dakwaan mereka terhadap DS Najib Razak, kerana atas dakwaan itu, parti Barisan Nasional turut dihukum rakyat, tanpa mengambil kira sumbangan parti yang memerintah negara selama 61 tahun.

Benarlah, pena lebih tajam daripada pedang, kerana pena, boleh menjadikan parti yang berbudi dan berbakti dihukum tanpa belas kesihan.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels