5 November 2009

Nizar News: PKFZ: Yang Jelas Wang Kerajaan Hilang: Chan Akan Jawab

Bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy berkata beliau akan kembali dengan segera dari luar negara bagi memberi kerjasama kepada pihak berkuasa berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Saya bersedia memberi kerjasama dengan pihak berkuasa penyiasatan bagi memberi penjelasan lanjut dan bantuan berhubung perkara ini," katanya dalam kenyataan hari Khamis.

"Saya kini berada di luar negara dan akan pulang secepat mungkin. Saya harap kenyataan ringkas ini akan memperjelaskan sebarang spekulasi yang tidak wajar," katanya.

Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporanya mengenai PKFZ mengesyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan polis menyiasat Chan dan bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datin Paduka O.C. Phang, membabitkan isu pecah amanah.

Menurut laporan PAC itu, kedua-dua mereka harus disiasat berhubung tiga surat sokongan yang dikeluarkan oleh Chan dan tiga surat aku janji yang dikeluarkan oleh Phang tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.

PAC menjalankan siasatan terhadap pelaksanaan projek PKFZ selepas projek itu dilaporkan meningkat daripada RM1.957 bilion kepada RM4.947 bilion.

Dalam kenyataan satu muka surat itu, Chan berkata apabila beliau menjadi Menteri Pengangkutan pada 1 Julai, 2003, urusan pembelian tanah bagi projek PKFZ telah pun selesai.

Katanya semasa memegang jawatan itu, beliau telah beberapa kali menjelaskan secara terperinci termasuk pada prosiding Parlimen mengenai tiga surat yang dikeluarkannya itu.

"Adalah paling malang perkara ini telah dibangkitkan semula. Saya telah nyatakan dalam perbicaraan PAC pada 29 Julai 2009 bahawa tiga surat yang ditandatangani oleh saya itu sebenarnya surat sokongan dan bukan surat jaminan," katanya.

Chan memegang portfolio itu sehingga tahun lepas sebelum berundur secara aktif dalam politik.

"Ia juga pandangan oleh seorang peguam kanan Malaysia dan juga peguam diraja (Queen Counsel) yang terkenal. Saya tandatangan surat berkenaan berdasarkan kepercayaan ikhlas bahawa ia sebenarnya surat sokongan," katanya.

Laporan PAC itu berkata kos tanah PKFZ bagi setiap kaki persegi adalah RM41.76 iaitu 67 peratus lebih tinggi daripada harga RM25 ditetapkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

Laporan itu menyatakan jika tanah bagi projek itu diperoleh mengikut prosedur, kerajaan hanya perlu membayar RM442.13 juta dan menjimatkan sejumlah RM645.87 juta.

Berdasarkan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun bagi bayaran balik tanah secara tertunda sebelum perjanjian jual beli yang dipersetujui oleh Phang, maka kos tanah itu melonjak kepada RM1.818 bilion, kata laporan itu.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels