5 November 2009

Nizar News:Siasatan Tan Sri Chan Kong Choy: Serupa Perwaja Steel

Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) mengesyorkan bekas menteri pengangkutanTan Sri Chan Kong Choy disiasat berhubung dakwaan pecah amanah dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

PAC juga mengesyorkan siasatan turut dijalankan terhadap bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka OC Phang.Menurut laporan PAC berhubung PKFZ yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini, kedua-dua mereka harus disiasat berhubung tiga surat sokongan yang dikeluarkan Chan dan tiga surat akujanji oleh Phang, lapor Bernama."Jawatankuasa dimaklumkan oleh Peguam Negara bahawa tiga surat sokongan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Chan Kong Choy, (bekas) Menteri Pengangkutan dan ketiga-tiga surat akujanji yang dikeluarkan oleh Pengurus Besar LPK (Lembaga Pelabuhan Kelang) secara tersirat atau bersifat jaminan daripada kerajaan yang meletakkan tanggungan ke atas kerajaan untuk memastikan ada peruntukan yang membolehkan LPK memenuhi obligasinya di bawah Perjanjian Pembangunan.

"Oleh itu, siasatan rapi perlu dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia/Polis Diraja Malaysia terhadap perkara ini kerana ia dikeluarkan tanpa kelulusan daripada Kementerian Kewangan sepertimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Tatacara Kewangan 1957," kata laporan itu.

Selain itu, tindakan Chan dan Phang juga boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah pecah amanah di bawah Seksyen 409 yang dibaca bersama Seksyen 409B Kanun Keseksaan.

Seksyen 409 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman minimum dua tahun maksimum 20 tahun, dan dengan sebat, dan boleh juga dikenakan hukuman denda jika sabit kesalahan.

Laporan PAC yang diketuai Datuk Seri Azmi Khalid juga berpendapat surat akujanji yang dikeluarkan oleh Phang adalah bertentangan dengan keputusan kerajaan kerana semasa meluluskan projek PKFZ, kerajaan telah memutuskan supaya ia dibiayai sendiri oleh LPK.

Sehubungan itu, Phang dan Kementerian Pengangkutan didapati gagal
memaklumkan kabinet dengan awal mengenai ketidakupayaan LPK untuk membiayai sendiri projek itu walaupun perkara tersebut telah dibangkitkan dalam laporan-laporan Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan LPK bagi tahun 2003, 2004, 2005, 2006 dan 2007.

Selain itu, mereka juga didapati gagal berunding dengan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi bagi mendapatkan peruntukan bagi membiayai projek itu.

Pengurus besar LPK itu juga didapati telah melakukan "gambaran yang salah" apabila mengeluarkan surat akujanji kepada pemegang amanah PDS iaitu OSK Securities Berhad yang menyatakan bahawa LPK akan meminta kerajaan untuk meremit dana daripada peruntukan bajet ke "akaun rizab khas" atau "kod khas akaun" yang diuruskan oleh LPK memandangkan LPK tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan atau Kementerian Kewangan berhubung perkara itu.PAC menjalankan pemeriksaan terhadap pelaksanaan projek PKFZ selepas isu berhubung dengannya menjadi topik perbualan umum kerana kos projek itu melambung daripada RM1.957 bilion kepada RM4.947 bilion.

Jawatankuasa itu telah bersidang mulai 11 Jun 2009 hingga 3 September 2009 bagi menemuramah saksi-saksi yang berkenaan termasuk Menteri Pengangkutan dan dua bekas menteri yang memegang portfolio berkenaan iaitu Datuk Seri Ong Tee Keat, Tun Dr Ling Liong Sik dan Chan.

PAC turut menggunakan laporan-laporan Ketua Audit Negara dan laporan yang dikeluarkan PricewaterhouseCoopers serta meminta Jabatan Audit Negara menjalankan semakan dan pengesahan terhadap beberapa perkara berkaitan perancangan dan pelaksanaan projek PKFZ.

Selain jawatankuasa itu, pada 9 September lalu, kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas PKFZ yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara bagi mengenal pasti kelemahan tadbir urus dan pengurusan pelaksanaan projek pembangunan PKFZ serta mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan yang perlu diambil.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels