Tan Sri Musa Membaca Kenyataan Ringkas |
Atas sebab kesihatan, Tan Sri Musa Aman hanya dapat mengangkat sumpah ADUN Sungai Sibuga pada Rabu di hadapan Speaker DUN Sabah.
Musa yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada tengah hari, Rabu terus ke Bangunan DUN Sabah, di Teluk Likas, Kota Kinabalu.
Musa terpaksa berubat di UK pada pertengahan Mei seusai PRU-14 dan kembali ke tanah air pada 21 Ogos, meskipun dilarang doktor yang merawat beliau.
Selepas mengangkat sumpah, Musa membaca kenyataan ringkas beliau seperti berikut:-
Alhamdulillah
Saya kini telah selamat kembali ke Sabah, demi menunaikan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat, di sebalik keadaan kesihatan serta bertentangan dengan nasihat doktor yang sedang merawat saya.
Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada YB Speaker DUN yang memahami keadaan kesihatan saya serta telah memberi persetujuan untuk saya datang menghadap bagi membolehkan saya memenuhi tanggungjawab selaku Ahli Dewan Undangan Negeri.
Saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa di Kuala Lumpur dan akan tetap memberikan kerjasama tersebut selagi diperlukan.
Perlu saya tekankan di sini bahawa saya bukanlah seorang pelarian dan tidak sesekali pernah terniat di dalam hati untuk lari daripada pihak berkuasa Malaysia (sebagaimana yang pernah digembar-gemburkan di dalam sosial media selama ini).
Saya telah berada di luar negara atas sebab-sebab kesihatan serta rawatan rapi yang diperlukan dan ini dibuktikan dengan laporan kesihatan daripada para doktor yang merawat saya.
Saya adalah anak peribumi Negeri Sabah yang selama ini telah memberikan khidmat bakti terhadap kawasan DUN yang saya wakili serta negeri Sabah yang saya cintai. Perjuangan dan khidmat kepada rakyat serta negeri ini akan tetap diteruskan dengan sedaya upaya saya. Insya-Allah.
Saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak, khususnya para penyokong saya, atas sokongan padu serta doa-doa yang tuan-tuan dan puan-puan berikan selama ini.
Terima kasih.
Musa disambut ribuan penyokong beliau di Terminal 2 KKIA. Antara para pemimpin yang kelihatan menyambut beliau, Datuk Hajiji Noor, Datuk Yahya Hussien, Datuk Radin Maleh, Datuk Arifin Arif, Datuk Hamisa Yassin dan ramai lagi. Sebaik Musa keluar menunju kenderaan yang sedang menunggu, lauangan HIDUP MUSA BERGELOMBANG.
No comments:
Post a Comment