6 September 2018

TAN SRI MUSA AMAN: MANGSA KEADAAN

Apa pun yang diperkatakan berkaitan Tan Sri Musa, beliau adalah Ketua Menteri terlama Sabah, beliau berjaya memartabatkan Sabah, beliau berjaya memajukan dan membangun Sabah.

Tidak mudah mengenepikan pencapaian Musa. Tahun 2003 simpangan kewangan Sabah hanya RM184juta semasa beliau dilantik Ketua Menteri. Selepas kedudukan beliau dirampas menerusi khianat, simpangan kewangan Sabah yang beliau warisi lebih RM3.4bilion. Menerusi rekod itu, jika ada tuduhan bahawa beliau salah guna kuasa, mereka itu tergolong yang tidak dapat membezakan koma dan titik perpuluhan, tidak tahu membezakan antara juta dan bilion, tidak tahu membezakan antara 6% dan 16%.

Jika ada tuduhan bahawa sementara pemerintahan beliau penebangan hutan berleluasa, bagai mana keluasan hutan simpan Sabah bertambah daripada 838ribu hektar (2002) kepada 1,870 ribu hektar pada tahun 2017. Oleh kerana hutan tidak dijadikan sumber utama negeri, maka terlihat menerusi perolehan negeri daripada hutan cukup sedikit. Walaupun demikian, kerajaan Negeri di bawah pimpinan beliau boleh membentangkan bajet di atas RM4bilion, sedangkan semasa sumber hutan 80% perolehan negeri, tidak pernah negeri membentangkan bajet sebesar itu.

Musa mendapat gelaran Bapa Pembangunan Moden Sabah, kerana berjaya mentransformasi pembangunan negeri, khususnya di kawasan-kawasan bandar seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Jalan-jalan bertingkat bermula semasa era Musa, bangunan-banguan kompleks belah moden bermula di era Musa. Melihat kemajuan dan pembangunan yang di era kerajaan Musa, kecuali mereka yang buta mata sahaja tidak menghargainya.

Sebenarnya Musa menjadi mangsa keadaan, kerana keputusan PRU-14 lalu di mana Kerajaan Persekutuan berjaya ditawan Pakatan Harapan, walaupun di Sabah, Musa masih mempunyai sokongan, apabila Bn yang diwakili beliau mendapat 29 kerusi daripada 60 Dun Sabah.

Kalau berasaskan logo yang digunakan semasa PRU-14, Bn=29, PWS=21, DAP=6, PKR=2 dan STAR=2. Kalau di United Kingdom, maka keputusan itu adalah keputusan DUN tergantung, dan lazimnya, parti yang mempunyai kerusi terbanyak dijemput menubuhkan kerajaan. Namun di Sabah, sebaliknya berlaku, malah ada usaha daripada pihak-pihak tertentu mengnepikan keputusan rakyat.

Jika berasaskan cerita-cerita di media sosial, pihak-pihak tertentu lebih berpihak kepada PWS yang ada 21 kerusi untuk menubuhkan kerajaan, sebab itu 3 ADUN Bn dipengaruhi pihak-pihak tertentu berpaling tadah, kemudiannya diikuti 3 yang lain pada 11 Mei, 2018. Perkara ini yang diputuskan oleh mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, pada 26 Oktober, 2018.

Musa dengan jelas mempunyai sokongan 31 ADUN pada 10 Mei, 2018 sebab itu beliau membentuk Kerajaan Negeri dan seterusnya beliau dan kabinet beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan TYT Sabah, disaksikan oleh Peguam Besar Sabah dan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Negeri, Peguam Negeri dan para pegawai daripada Persekutuan dan Negeri.

Oleh kerana senario masa politik negara, maka tekanan terhadap Musa untuk melepaskan jawatan dilakukan termasuk disiasat oleh pihak polis dan SPRM.

Di khabarkan siasatan polis masih berjalan, manakala siasatan SPRM baru dimulakan pada Khamis di Pejabat SPRM Putrajaya. Pada Khamis, Musa dikatakan memberikan keterangan lebih kurang 2 jam, namun tiada laporan apa yang disoal atau berkaitan apa.

Semalam (Rabu) Musa kembali ke Sabah untuk tujuan angkat sumpah ADUN Sungai Sibuga, sebelum kembali ke Kuala Lumpur kerana mempunyai temu janji di Pejabat SPRM pada Khamis.

Musa akan berada di Kuala Lumpur, selain meneruskan rawatan beliau, juga memenuhi jadwal siasatan SPRM. Beliau akan kembali ke Sabah apabila proses rawatan beliau selesai.

Kehadiran Musa di Sabah, mengembirakan para penyokong Umno, PBS dan STAR, akan tetapi sangat mengusarkan para pemimpin PWS, PKR,dan DAP. 

Sambutan orang ramai semasa ketibaan beliau di KKIA semalam, adalah manifestasi, bahawa rakyat Sabah mengiktiraf Musa adalah Ketua Menteri yang sah.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels